ENTRY ABOUT LINKIES TUTOBIES +FOLLOW DBOARD NEWER OLDER

♥ PERDANA MENTERI MALAYSIA ♥
Wednesday 2 July 2014 - Permalink - 0 Comments



  • PERDANA MENTERI :-
Perdana Menteri ialah menteri yang paling kanan dalam kabinet, sebahagian cabang eksekutif dalam sistem berparlimen. Walaupun perdana menteri biasanya merupakan ahli politik, ini tidak semestinya.
Dalam banyak sistem, Perdana Menteri memilih serta boleh memecat ahli-ahli kabinet, dan memperuntukkan jawatan kepada ahli-ahli dalam Kerajaan. Dalam kebanyakan sistem, perdana menteri merupakan pengerusi kabinet, tetapi dalam sebilangan sistem yang kecil, khususnya dalam sistem kerajaan separa presiden, perdana menteri ialah pegawai yang dilantik untuk menguruskan perkhidmatan awam dan melaksanakan arahan-arahan Presiden.
Dalam sistem-sistem parlimen seperti sistem Westminster United Kingdom, perdana menteri ialah ketua kerajaan, manakala ketua negara (Raja, Ratu, Presiden, atau Gabenor Jeneral [de facto]) yang mungkin secara rasmi merupakan ketua eksekutif memainkan peranan istiadat. Perdana Menteri biasanya, tetapi bukan selalu, merupakan ahli parlimen dan dikehendaki memastikan pelulusan rang undang-undang oleh badan perundangan. Dalam sebilangan pemerintahan beraja, perdana menteri juga mempunyai kuasa eksekutif (dikenali sebagai Prerogatif Diraja) yang terletak pada takhta kerajaan oleh perlembagaan dan boleh dipergunakan oleh perdana menteri tanpa kebenaran parlimen.
Selain daripada merupakan Ketua Kerajaan, perdana menteri mungkin mempunyai peranan atau gelaran yang lain — umpamanya, Perdana Menteri United Kingdom juga merupakan Lord Perbendaharaan Pertama. [1] Para perdana menteri juga boleh memegang jawatan menteri yang lain — umpamanya, semasa Perang Dunia II, Winston Churchill juga merupakan Menteri Pertahanan (walaupun tidak adanya Kementerian Pertahanan ketika itu). Banyak Perdana Menteri Malaysia juga memegang jawatan menteri yang lain, khususnya kementerian-kementerian yang penting seperti Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan.
  •  SEJARAH :-  
Sedangkan jawatan moden untuk Perdana Menteri dikembangkan di United Kingdom, penggunaan pertama istilah Perdana Menteri atau Premiere Minstre adalah oleh Kardinal Richelieu pada tahun 1624 ketika beliau dilantik untuk mengetuai majlis diraja sebagai perdana menteri Perancis. Secara amnya, Louis XIV dan keturunan-keturunannya mengelakkan penggunaan gelaran ini untuk para ketua menteri. Istilah Perdana Menteri dengan erti moden berasal daripada United Kingdom pada abad ke-18. Sejak zaman pertengahan, Raja-raja England dan United Kingdom mempunyai menteri-menteri yang baginda-baginda itu memberi kepercayaan khas dan dianggap sebagai ketua kerajaan. Contoh-contohnya termasuk Thomas Cromwell di bawah Henry VIII; William Cecil, Lord Burghley di bawah Elizabeth I; Clarendon di bawah Charles II; dan Godolphin di bawah Ratu Anne. Menteri-menteri ini memegang berbagai-bagai jawatan rasmi. Biasanya, jawatan itu hanya digelarkan "Menteri", atau "Menteri Pertama", tetapi akhirnya, gelarannya menjadi "Perdana Menteri"

Kuasa menteri-menteri itu bergantung pada keseluruhannya kepada murah hati peribadi Raja-raja. Walaupun pengurusan Parlimen merupakan salah satu kemahiran yang wajib dalam pemegangan jawatan yang tinggi, para perdana menteri tidak bergantung kepada majoriti parlimen untuk kuasa mereka. Walaupun Kabinet wujud, semua ahli kabinet dilantik oleh Raja, dan Raja biasanya mempengerusikan sidang-sidangnya. Jika Raja tidak suka akan menteri pertamanya, baginda boleh memecatnya, atau lebih teruk lagi, menjalankan hukuman mati ke atasnya. Cromwell dihukum mati dan Clarendon dibuang negeri ketika mereka disukai lagi oleh Raja mereka. Raja-raja kekadang memisahkan kuasa antara dua atau lebih menteri untuk mencegahkan seorang menteri menjadi terlalu kuat. Umpamanya, pada lewat pemerintahaan Ratu Anne, dua orang menteri Tory, iaitu Harley dan St. John berkongsi kuasa.

Titik peralihan dalam evolusi jawatan perdana menteri datang dengan kemangkatan Ratu Anne pada tahun 1714, dan naik takhta George I. George tidak tahu bertutur dalam bahasa Inggeris, dan menghabiskan banyak masanya di dalam istana di Hannover, serta tidak mempunyai pengetahuan, mahupun minat, dalam perincian-perincian kerajaan Inggeris. Dalam keadaan-keadaan sebegini, tidak dapat dielakkan bahawa menteri pertama Raja menjadi ketua kerajaan secara de facto. Menteri pertama ini ialah Robert Walpole, ahli politik Whig, yang memegang jawatan dari 1721 selama 21 tahun. Walphole mempengerusikan semua sidang Kabinet, melantik semua menteri yang lain, dan mengetepikan naungan raja serta mengisikan Dewan Rakyat dengan penyokong-penyokongnya. Di bawah Walpole, doktrin perpaduan Kabinet berkembang. Walpole menetapkan bahawa tiada menteri selain daripada dirinya boleh mempunyai sebarang urusan peribadi dengan Raja, dan juga ketika Kabinet bersetuju dengan sesuatu dasar, semua menteri harus mempertahankanya di khalayak ramai atau meletakkan jawatan. Sebagai Perdana Menteri yang kemudian, Lord Melbourne berkata: "Tidaklah penting apa yang kita berkata, tuan-tuan, asalkan kita semua berkata perkara yang sama." 

Walpole selalu menafikan bahawa beliau adalah "Perdana Menteri" dan pada sepanjang abad ke-18, para ahli parlimen dan cendekiawan undang-undang meneruskan penafian terhadap adanya sebarang jawatan ini dalam Perlembagaan. Gelaran ini dirujuk dalam dokumen-dokumen kerajaan buat pertama kali semasa pentadbiran Benjamin Disraeli tetapi tidak muncul dalam Susunan keutamaan British yang rasmi sehingga 1905. George II dan George III berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menuntut semula kuasa raja, tetapi kerumitan dan belanja kerajaan yang semakin bertambah bermakna bahawa seorang menteri yang dapat memperoleh kesetiaan ahli-ahli Dewan Rakyat semakin diperlukan. Tempoh perjawatan Perdana Menteri Pitt Lebih Muda (1783-1801) pada tempoh perang, bersama-sama dengan penyakit jiwa George III, mengukuhkan kuasa jawatan ini. Menjelang pemerintahan Ratu Victoria, hakikat bahawa Perdana Menteri merupakan pemerintah negara yang benar tidak boleh lagi dipertikaikan, walaupun kuasanya selalu bergantung kepada sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

Dalam sejarah Peru, 13 orang perdana menteri telah dibunuh oleh isteri mereka. Tekaan yang popular menunjukkan bahawa pembunuhan-pembunuhan ini tertimbul daripada para perdana menteri itu mempunyai hubungan luar nikah. 

Martabat institusi-institusi British pada abad ke-19 dan pertumbuhan Empayar British memperlihatkan model kerajaan berkabinet British, yang diketuai oleh seorang Perdana Menteri, ditiru secara meluas oleh kedua-dua negara-negara Eropah yang lain serta wilayah-wilayah jajahan British ketika mengembangkan pemerintahan sendiri. Di sesetengah negara, gelaran-gelaran alternatif seperti "Premier", "Ketua Menteri", "Menteri Pertama Negara", "Presiden Majlis" atau "Kanselor" diterimaguna, tetapi asas-asas jawatan itu adalah sama sahaja. Menjelang lewat abad ke-20, kebanyakan negara-negara di seluruh dunia mempunyai seorang Perdana Menteri atau menteri yang serupa yang memegang jawatan di bawah sistem negara Raja berperlembagaan atau presiden istiadat. Kekecualian yang utama dalam sistem ini ialah Amerika Syarikat dan republik-republik berpresiden Amerika Latin yang mencontohi sistem Amerika Syarikat dalam pemberian kuasa eksekutif secara langsung kepada Presidennya. 
♥ PERDANA MENTERI PERTAMA ♥
Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah

- Bapa Kemerdekaan -



Nama : Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah

Tarikh Lahir : 08 Februari 1903,
Tempat Lahir : Istana Tiga Tingkat, Alor Setar (Istana Pagoda)
 
Pendidikan :
1911 – Maktab Sultan Abdul Hamid Alor Setar
1916 – Penang Free School, Penang
1925 – lulus B.A. dari University Cambridge
1945 – lulus LLB, dari Inner Temple, London
 
Kerjaya :
1946 – bertugas dengan Kerajaan Kedah sebagai D.O. (Pegawai Daerah) Langkawi, Kulimdan Sungai Petani, (sebelum lulus LLB). Dilantik Penolong Pendakwa Raya KLdan Presiden Mahkamah Session Selangor
1951 – dilantik Presiden UMNO dan bergiat sepenuh masa untuk UMNO.
1956 – Rombongan Merdeka ke London
1957 – Merdeka. Perdana Menteri Pertama
1962 – rombongan ke London – Gagasan Malaysia
1963 – Gagasan Malaysia – 16.09.1963
1970 – bersara daripada politik
 

Keluarga

Pada tahun 1933, Tunku berkahwin dengan Mariam, seorang wanita kacukan Cina-Siam yang merupakan anak perempuan tauke lombong di Alor Star. Beliau dikurniakan dengan dua cahaya mata, iaitu Tunku Ahmad Nerang Putra dan Tunku Khadijah. Mariam meninggal dunia pada tahun 1934 kerana menghidapi penyakit malaria di Kuala Nerang, Kedah.
Selepas kematian Mariam, Tunku berkahwin dengan Violet Coulson, bekas tuan rumahnya di England. Antara saksi perkahwinannya di Geylang Serai, Singapura ialah Syed Ahmad al Sagoff.
Tunku mengalami nasib yang sama seperti Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid. Dititahkan untuk menceraikan Violet oleh Pemangku Raja Kedah, Tunku kemudian berkahwin dengan Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah, seorang saudara jauh yang juga merupakan adik Syed Omar Barakbah, rakan sekuliahnya di England, pada tahun 1939. Perkahwinan ini direstui kerana berketurunan Arab yang ternama dan kaya di Kedah. Oleh sebab perkahwinan ini tidak mendapat seorang anak pun, mereka mengambil tiga anak angkat iaitu Faridah, Sulaiman dan Mariam. Tunku juga telah mengahwini seorang yang berbangsa Cina pada tahun 1963 dengan rahsia dan telah mendapat dua orang cahaya mata perempuan yang diberi nama Tunku Noor Hayati dan Tunku Mastura.

Kerjaya politik

Selepas pemulangannya ke Malaya pada tahun 1949, Tunku ditugaskan untuk bekerja di sebuah pejabat Pegawai Undang-undang di Alor Star. Beliau kemudian meminta perpindahan ke Kuala Lumpur di mana beliau menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan selepas itu, dilantik sebagai Yang Dipertua Mahkamah Sesyen.
Pada tempoh itu, semangat nasionalisme bertambah hebat di kalangan kaum Melayu di tengah-tengah pengisytiharan penubuhan Malayan Union oleh Britain. Datuk Onn Jaafar mengetuai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk menentangi Malayan Union (sila lihat: Sejarah Malaysia) dan Tunku menyertai partinya. Pada Ogos 1951, suatu krisis di dalam UMNO memaksakan Datuk Onn meletakkan jawatan sebagai presiden parti dan Tunku dilantik sebagai presiden yang baru. Beliau memegang jawatan itu selama 20 tahun.

Laluan ke kemerdekaan

Pada tahun 1954, Tunku mengetuai sekumpulan perwakilan ke London untuk memperolehi kemerdekaan Malaya. Bagaimanapun, percubaan sulung itu tidak berjaya. Pada tahun yang berikut, pilihan raya persekutan yang pertama diadakan. Parti Perikatan yang pada saat itu merupakan parti campuran UMNO dengan MCA memenangi 51 daripada 52 kerusi yang ditandingi. Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri Malaya yang pertama. MIC yang mewakili kaum India kemudian menyertai Parti Perikatan pada tahun 1955.
Pada tahun 1955, Tunku membuat lagi satu perjalanan ke London untuk berunding tentang kemerdekaan Malaya. Pada kali ini, beliau berjaya, dan 31 Ogos 1957 diputuskan sebagai tarikh kemerdekaan. Sewaktu bendera British diturun di Kuala Lumpur pada hari kemerdekaan, Tunku mengetuai orang ramai untuk menyorak "Merdeka!". Gambar-gambar Tunku dengan tangan yang diangkat naik, dan perakaman-perakaman suaranya yang penuh emosi tetapi berazam mengetuai sorakan, kini merupakan lambang kemerdekaan Malaysia yang biasa.

Sebagai Perdana Menteri

Selepas kemerdekaan, Tunku mendominasikan politik Malaya dan memimpin Parti Perikatan ke kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada tahun 1959 dan 1964. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaian Tunku yang teragung.
Tunku pertama sekali mencadangkan sebuah persekutuan Malaya, Singapura, Sabah, Sarawak, dan Brunei dalam ucapannya kepada "Persatuan Wartawan Asing Asia Tenggara" pada tahun 1961 di Singapura. Pada 16 September 1963, dengan persekutuan negeri-negeri tersebut kecuali Brunei, beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
Bagaimanapun, faktor-faktor perkauman bertambah buruk dengan pemasukan Singapura yang menaikkan bahagian kaum Cina sehingga hampir-hampir 40%. Kedua-dua UMNO dan MCA berasa tegang terhadap daya tarikan Parti Tindakan Rakyat (PAP pada waktu itu, diperlihatkan sebagai sebuah parti sosialis yang radikal) Lee Kwan Yew kepada pengundi-pengundi di Malaya. Untuk mengatasi kebimbangan itu, Parti Perikatan mencuba membentukkan sebuah parti di Singapura untuk mencabar kedudukan Lee di sana. Sebagai gerak balas, Lee mengancam bahawa PAP akan menyertai Pilihan Raya Persekutuan 1964 di Malaya, walaupun terdapatnya perjanjian awal bahawa beliau tidak akan berbuat demikian (sila lihat Hubungan PAP-UMNO. Ini membangkitkan kemarahan Tunku yang mendesak supaya Singapura meninggalkan Malaysia.
Pada 7 Ogos 1965, Tunku mengumumkan kepada Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur bahawa Parliamen haruslah mengundi untuk menyokong peninggalan Singapura daripada Persekutuan. Dalam perkataannya, Parliamen harus memilih untuk "memutuskan semua pertalian dengan sebuah Kerajaan Negeri yang tidak mempertunjukkan sebarang kesetiaan kepada Kerajaan Pusat" berbanding kaedah yang tidak diingini untuk menindas tindakan PAP. Pemisahan dan kemerdekaan Singapura menjadi rasmi pada 9 Ogos 1965.
Pada tahun 1961, Tunku menubuhkan Pertubuhan Asia Tenggara (ASA) yang memperkumpulkan Malaya, Thailand dan Filipina Perkumpulan ini kemudian digantikan dengan perkumpulan yang lebih besar, iaitu Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), pada 8 Ogos 1967.
Dalam Pilihan Raya Umum 1969, majoriti Parti Perikatan dikurangkan dengan hebat. Perhimpunan-perhimpunan tunjuk perasaan yang mengikuti pilihan raya itu mencetuskan rusuhan kaum pada 13 Mei di Kuala Lumpur. Sebahagian pemimpin-pemimpin UMNO yang diketuai oleh Tun Abdul Razak kritis terhadap cara pengendalian krisis itu oleh Tunku, dan MAGERAN, sebuah jawatan kuasa darurat, mengambil alih kuasa dan mengisytiharkan keadaan darurat.
 
 
Dengan pakaian rasmi.

Kegiatan Islam

Selepas menjadikan Islam sebagai agama Malaysia yang rasmi pada 1960, Tunku mengasaskan Pertubuhan Kebajikan Agama Islam (PERKIM), sebuah pertubuhan untuk membantu mualaf Islam untuk menyesuaikan diri kepada penghidupan baru. Beliau memegang jawatan Presiden PERKIM sehingga setahun sebelum kematiannya.
Pada 1961, Malaysia menjadi tuan rumah kepada "Pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa" yang pertama, suatu peristiwa yang diperkembangkan daripada gagasan Tunku sewaktu beliau mengadakan pertandingan tahap negeri yang pertama di Kedah pada tahun 1951.
Pada 1969, Tunku membantu menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan dilantikkan sebagai Setiausaha Agung yang pertama. Beliau kemudian menubuhkan Bank Pembangunan Islam sebagai sebuah institusi yang khusis di dalam OIC. Tunku juga merupakan Presiden "Majlis Da'wah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik" (RISEAP) dari 1982 sehingga 1988.

Kehidupan kemudian

Pada 1977, setelah memperolehi sebahagian besar hak milik The Star, sebuah syarikat surat khabar yang berasaskan di Pulau Pinang, Tunku menjadi pengerusinya. Ruang-ruangnya, "Mengenang kembali" ("Looking Back") dan "Sebagaimana yang Saya Perlihatkan" ("As I See It") kritis kepada kerajaan, dan pada tahun 1987, Perdana Menteri Dr Mahathir mengharamkan surat khabar itu. Ini menyebabkan perpecahan di dalam UMNO, dengan Tunku dan bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn menubuhkan sebuah parti baru yang digelar "UMNO Malaysia", tetapi pendaftarannya dibatalkan oleh Dr Mahathir yang menubuhkan UMNO Baru. Tunku kemudian menyokong Semangat 46 yang merupakan kumpulan serpihan UMNO yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau berkempen dengan cergas untuk Semangat 46 dalam Pilihan Raya Umum 1990, tetapi sewaktu itu, kesihatannya telah merosot.

Meninggal dunia

Dalam tahun-tahun terakhirnya, Tunku tinggal di sebuah rumah di Pulau Pinang.Apabila sakit beliau dirawat di Hospital Besar Kuala Lumpur .Beliau meninggal dunia pada 6 Disember 1990 sewaktu berumur 87.Jenazah dibawa ke kediamannya di Bukit Tunku dan esoknya disemadikan di Makam Diraja Langgar, Alor Star.
 
 
♥ PERDANA MENTERI KEDUA ♥
Tun Abdul Razak bin Datuk Hussein

- Bapa Pembangunan -




Nama :  Allahyarham Tun Abdul Razak bin Datuk Hussein
Tarikh Lahir : 11 Mac 1922
Tempat Lahir : Kampung Pulau Keladi, Pekan, Pahang

Pendidikan :
Sekolah Melayu Langgar, Pekan
Maktab Melayu Kuala Kangsar, MCKK
1940 – Raffles College Singapura ± Pentadbiran
1947 – ke England sebagai Queen’s Scholar dalam bidang Undang-Undang
1950 – lulus LLB. (Hons) dari Lincoln’s Inn, Barristar at Law

Kerjaya :
1952 – Setiausaha Kerajaan Pahang.
1955 – Menteri Besar Pahang, meletak jawatan – bertanding pilihan raya pertama danmenang, Menteri Pelajaran Pertama PTM. Mengeluarkan Penyata Razak yangmenentukan sistem pelajaran negara pada 16.05.1956. Bergelar BapaPembangunan Luar Bandar kerana usaha gigih beliau menaikkan taraf luar bandar
1970 - 22 September dilantik menjadi Perdana Menteri Malayisa. Pemimpin yangberhemah tinggi, jujur dan amat disegani.


Garis masa

  • 1922: Dilahirkan di Pekan, Pahang pada 11 Mac.
  • 1934 (umur 12): Melanjutkan pengajian ke peringkat menengah di Maktab Melayu Kuala Kangsar.
  • 1947 (umur 25): Mendapat biasiswa kerajaan British untuk melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di England.
  • 1950 (umur 28): Menerima ijazah undang-undang dari Lincoln's Inn. Sekembali ke tanah air, beliau menyertai Perkhidmatan Awam dan juga dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno.
  • 1951 (umur 29): Dilantik menjadi Timbalan Presiden Umno.
  • 1952 (umur 30): Dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.
  • 1955 (umur 33): Menjadi Menteri Besar Pahang yang termuda. Bila Parti Perikatan memenangi pilihan raya umum pertama pada tahun ini, beliau dilantik sebagai Menteri Pelajaran dalam barisan kabinet pertama Tunku Abdul Rahman.
  • 1956 (umur 34): Berada di London sekali lagi bersama Tunku Abdul Rahman, kali ini sebagai anggota rombongan Tanah Melayu untuk menuntut kemerdekaan daripada Britain.
  • 1957 (umur 35): Selepas kemerdekaan dicapai, beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar.
  • 1959 (umur 37): Dianugerahkan pingat Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.) oleh Yang Di Pertuan Agong Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad pada 31 Ogos 1959 yang membawa gelaran Tun.
  • 1969 (umur 47): Selepas perselisihan kaum tercetus di Kuala Lumpur selepas pilihan raya tahun, keadaan darurat telah diisytiharkan dan sebuah badan dikenali sebagai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan, dengan Abdul Razak sebagai ketuanya.
  • 1970 (umur 48): Menjadi Perdana Menteri Malaysia kedua pada September, selepas Tunku meletakkan jawatan dari kerajaan dan Parti Perikatan. Beliau memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru pada pertengahan tahun untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan semua kaum dan menyusun semula aktiviti ekonomi ke arah pembahagian kekayaan negara yang lebih saksama.
  • 1972 (umur 50): Menjemput Dr Mahathir Mohamad, yang tersingkir pada 1969, kembali ke pangkuan Umno.
  • 1976 (umur 54): Meninggal dunia akibat leukimia di London pada Januari. Dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.

Sumbangan Tun Abdul Razak

  • Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang (4 Oktober 1971 hingga Februari 1984).
  • Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Tinggi (1 November 1974 hingga 31 Oktober 1976)
  • Canselor Universiti Malaya sejak 8 Februari 1986.
  • Dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Kesusasteraan oleh Universiti Malaya pada 30 Jun 1979
  • Dianugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-undang oleh Universiti Sains Malaysia , Pulau Pinang pada 28 Jun 1980.
  • Dianugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-Undang oleh University of Nottingham pada 11 Julai1986.
  • Dianugerah ‘Kerusi Kehormat’ oleh Lincoln’s lnn, London pada 1988
  • Dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-undang oleh Universitas Gadja Mada, Jogjakarta, lndonesia pada 28 September 1990
  • Dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-undang oleh Universiti Brunei Darussalam pada 30 Oktober 1990.
Dianugerahkan Ijazah Kehormat oleh Universiti Chulalongkon, Bangkok, Thailand pada 19 Disember 1990 Anugerah sebagai Ahli Kehormat The Royal College of Physician of lreland pada 2 Oktober 1991 Anugerah sebagai Ahli Kehormat The Royal College of Surgeons of Edinburgh dan The Royal College of Surgeons of England pada 1999
 
♥ PERDANA MENTERI KETIGA ♥
Tun Hussein bin Dato Onn

- Bapa Perpaduan -


Nama : Allahyarham Tun Hussein bin Dato Onn
Tarikh Lahir : 12 Februari 1922
Tempat Lahir : Johor Bahru

Pendidikan :
English College Johor Bahru hingga lulus Senior Cambridge
1940 – Masuk Maktab Tentera di Dehra Dunn, India
1958 – Lulus Ijazah Undang-undang dari Lincoln’s Inn, London

Kerjaya :
1942 – bertugas di Mesir
1945 – pemerintah Polis Depot, Johor Bahru
1946 ± menyertai UMNO bersama ayahnya. Setiausaha UMNO Pertama
1950 – ADO, Kuala Selangor, Klang
1970 – Menteri Pelajaran
1973 – Timbalan Presiden UMNO. Timbalan Perdana Menteri
1976 – Perdana Menteri Malaysia Ketiga
1981 – bersara daripada politik serentak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia

Kehidupan awal

Beliau dilahirkan di Johor Bahru serta merupakan anak kepada Dato' Onn Jaafar yang menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1946. Ibunya bernama Datin Halimah Hussein.
Hussein Onn menerima pendidikan awalnya di Telok Kurau School Singapura, kini Telok Kurau Primary School (Sekolah Rendah Telok Kurau) dan di English College (kini digelar "Maktab Sultan Abu Bakar"), Johor Bahru. Selepas persekolahannya, Hussein Onn menyertai Pasukan Tentera Johor sebagai kadet pada tahun 1940. Setahun kemudian, beliau dihantar ke Maktab Tentera Sandhurst di Dehradun, India. Selepas ditauliahkan, beliau menyertai Regimen Hyderabad ke-19 (Tentera India) dan berkhidmat di Timur Tengah sewaktu peperangan. Selepas peperangan, kerajaan British melantik beliau sebagai pengajar di "Pusat Perekrutan dan Latihan Polis Malaya" di Rawalpindi.

Bermula tahun 1942, beliau terlibat secara aktif dalam peperangan di Mesir, Syria, Palestin, Iran dan Iraq. Apabila Perang Dunia Kedua meletus di rantau Asia, beliau ditempatkan di Cawangan Perisikan Ibu Pejabat Tentera British, India di New Delhi. Beliau kemudiannya dipinjamkan ke unit pengambilan orang-orang baru dan melatih para pejuang bawah tanah Malaya menentang tentera Jepun yang menawan Malaya. Dari Madras Tun Hussein merancang dan menggerakkan operasi peperangan gerila terhadap Jepun.

Beliau pulang ke Malaya (kemudian Persekutuan Tanah Melayu; kini Semenanjung Malaysia) pada 1945 dan dilantik sebagai Komandan Depot Polis Johor Bahru. Beliau kemudiannya bersara dari perkhidmatan ketenteraan dengan berpangkat kapten, satu pencapaian yang cukup cemerlang bagi seorang bumiputera semasa penjajahan British. Selama 6 tahun berkhidmat dalam tentera, beliau dikenali sebagai seorang yang berdisiplin dan menepati masa. Seterusnya, beliau menyertai Perkhidmatan Awam Malaya sebagai Penolong Pegawai Pentadbir di Segamat, Johor. Beliau juga pernah bekerja di negeri Selangor sebagai pegawai daerah untuk Klang dan Kuala Selangor.

Semangat Dato' Onn Jaafar menentang Malayan Union turut mengapikan semangat Tun Hussein untuk bersama bapanya menentang Malayan Union. Beliau kemudiannya menyertai bapanya dalam bidang politik apabila bapanya menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung. Apabila UMNO ditubuhkan, beliau dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung UMNO dan kemudiannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama pada usia 28 tahun. Beliau kemudiannya menjadi Setiausaha Agung UMNO dan Tun Abdul Razak pula mengambil alih sebagai Ketua Pemuda UMNO.

Di samping penglibatannya dalam bidang politik, beliau memasuki Perkhidmatan Pentadbiran Melayu dan berkhidmat di Kuala Selangor dan Kelang sebagai Penolong Pegawai Daerah. Pada tahun 1949, beliau telah menjadi Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang pertama dan kemudian, pada tahun 1950, beliau dipilih menjadi Setiausaha Agung. Pada tahun 1950, beliau dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan di samping menduduki Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor.

Walaubagaimanapun, penglibatan beliau dalam bidang politik mulai pudar apabila cadangan bapanya untuk membuka pintu UMNO kepada orang bukan Melayu tidak dapat diterima oleh orang Melayu. Apabila bapanya menarik diri dari UMNO, beliau kemudianyannya menyertai bapanya keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada tahun 1951 dan kemudiannya Parti Negara. Oleh sebab IMP tidak menerima sambutan yang baik, beliau meninggalkan bidang politik apabila menukar arah dengan melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Lincoln's Inn, England dan lulus sebagai Barrister-at-Law pada tahun 1958.

Sekembalinya ke Malaya, beliau membuka firma guamannya sendiri di Kuala Lumpur. Pada masa itu, beliau sudah pun berkahwin dengan Toh Puan Suhaila binti Tan Sri Mohammad Noah dan mempunyai enam orang anak. Ibarat sireh pulang ke ganggang, beliau kembali menyertai UMNO semula atas pelawaan birasnya, Tun Abdul Razak yang ketika itu memegang jawatan sebagai Yang Di-Pertua UMNO pada tahun 1964. Pada Jun 1969, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja Tertinggi UMNO). Walaupun beliau telah lama menghilangkan diri daripada arena politik, tapi UMNO telah mencalonkannya sebagai calon Perikatan bagi kawasan Parlimen Johor Bahru Timur. Kepercayaan ini tidak meleset kerana beliau memenangi kerusi Parlimen ini dengan mudah pada Mei 1969.

Kebangkitan untuk berkuasa

Beliau kembali ke politik untuk menyertai UMNO pada tahun 1968 selepas dipujuk oleh Tun Abdul Razak yang menjadi Perdana Menteri pada ketika itu. Beliau bertanding dan menang dalam pilihan raya umum pada tahun 1969 dan dilantik sebagai Menteri Pelajaran.
Kenaikan pangkatnya yang pantas itu berterusan sewaktu beliau mewarisi Tun Dr. Ismail yang meninggal dunia pada 2 Ogos 1973 sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pada 15 Januari 1976, beliau dilantik untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga selepas kematian Tun Abdul Razak. 

Peranan dan sumbangan

Penyertaannya dalam kabinet Malaysia bermula pada September 1970 apabila dilantik menjadi Menteri Pelajaran oleh Tun Abdul Razak. Di bawah pentadbiran beliau, Kementerian Pelajaran terus meningkat maju. Beliau maju setapak lagi apabila dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun 1972, beliau telah menjadi salah seorang daripada tiga orang Naib Presiden yang dipilih. Di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 8 Ogos 1973, beliau dilantik menjadi Timbalan Presiden UMNO berikutan kematian daripada Tun Dr. Ismail. Apabila Tun Dr. Ismail meninggal dunia, beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos 1973 sekaligus merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian. Pemergian Tun Abdul Razak ke rahmatullah pada 14 Januari 1976 telah mengejutkan rakyat di seluruh negara ini.
Berikutan itu, dalam satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi pada 17 Januari, beliau telah disahkan sebagai pemangku Presiden UMNO. Pada hari Khamis, 15 Januari 1976, Beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketiga di Istana Negara. Pada tahun 1978, beliau menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden UMNO. Ketika menjadi Perdana Menteri, beliau telah meneruskan agenda pembangunan yang telah digariskan oleh Tun Abdul Razak khususnya dalam menggerakkan Dasar Ekonomi Baru. Sebagai seorang pemimpin, beliau arif tentang hal ehwal keselamatan. Beliau juga memberi penekanan kepada konsep Rukun Tetangga dan perjuangan terhadap ancaman dadah. Di bawah pentadbirannya, angkatan bersenjata Malaysia telah diperbesarkan dan dipermodenkan apatah lagi pada ketika itu, rantau di Asia Tenggara telah menjadi gempar ekoran jatuhnya kerajaan Vietnam Selatan ke tangan komunis dan terbinalah cita-cita "Teori Domino" komunis. Semasa pentadbirannya pada temboh darurat, usaha membenteras pengganas komunis di hutan dan bandar telah diperhebatkan malah golongan yang bersimpati dengan aliran komunis dipulihkan menerusi gerakan-gerakan pengitipan yang dikatakan berjaya.
Beliau akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang menyebebkan Malaysia meniti arus pembangunan dengan konsisten tanpa banyak kontroversi. Dasar-dasar dan program-program yang diketengahkannya tidak pernah lari dari sasaran Dasar Ekonomi Baru. Walaupun pada ketika itu ekonomi negara terjejas oleh kemelesetan ekonomi dunia, beliau berjaya untuk mengawal keadaan dan membantu Malaysia berkembang dari segi ekonomi dan sosial. Beliau pernah menjalani rawatan jantung atau pintasan koronari pada awal 1981. Beliau juga telah berjaya melancarkan Rancangan Malaysia Keempat pada bulan April 1981. Beliau juga telah mengikuti jejak langkah bapanya yang sentiasa mencuba untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Melayu yang agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain terutamanya dari segi ekonomi. Dengan itu, pada 20 April 1981, beliau melancarkan pula Skim Amanah Saham Nasional (ASN) yang merupakan satu dana amanah bumiputera yang membantu peningkatan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara. Keamanan negara yang diperkukuhkannya telah menarik pelabur luar untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang stabil dari segi politik dan ekonomi. Sumbangan beliau yang terbesar ialah menegakkan tiang keamanan yang kukuh.
Akibat kesihatan beliau yang merosot, beliau menyatakan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO sekaligus mengundurkan diri daripada kepimpinan negara. Beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 15 Mei 1981 atas sebab kesihatan dan diambil alih oleh timbalannya, Dato' Seri Dr. Mahathir bin Mohamad (kini bergelar "Tun") pada 18 Julai 1981. Selepas beliau meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri, beliau masih aktif dalam pertubuhan-pertubuhan kebajikan seperti Tabung Mata dan ISIS semasa hayatnya. Disebabkan perkhidmatannya kepada negara, Hussein Onn dikurniakan dengan gelaran Tun yang merupakan anugerah diraja yang tertinggi di Malaysia.

Selepas persaraan

Selepas persaraannya sebagai Perdana Menteri, beliau meneruskan sumbangannya kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan. Beliau memainkan peranan utama dalam pertubuhan Hospital Mata Tun Hussein Onn. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan penasihat kepada Petronas.
Sewaktu krisis kepimpinan UMNO yang berlaku pada tahun 1987, hubungan beliau dengan Tun Dr. Mahathir menjadi buruk kerana beliau menyokong "Team B" bersama-sama dengan Tunku Abdul Rahman. Mulai dari saat itu, beliau dan Tunku telah menjadi pengkritik yang kuat terhadap pentadbiran Tun Dr. Mahathir.
Beliau menghembuskan nafas terakhir pada hari Selasa, 29 Mei 1990, sewaktu berumur 68 tahun di Pusat Perubatan Seaton, San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung, dan disemadikan pada hari Jumaat di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Keistimewaan

Beliau adalah seorang yang amat berhati-hati apabila membuat keputusan yang melibatkan hal ehwal negara. Beliau sangat tegas dan berpegang teguh kepada prinsip hidupnya. Pengalaman dalam bidang ketenteraan telah menjadikan beliau sebagai seorang yang berdisiplin dan mementingkan ketepatan masa. Beliau telah memberikan kebebasan kepada akhbar dan majalah untuk melontarkan kritikan dan komentar dengan harapan bahawa perkara itu akan meningkatkan prestasi pentadbirannya. Beliau adalah seorang negarawan yang disegani dan dihormati. Beliau juga terkenal dengan sifat merendah diri serta jujur. Dalam sejarah, beliau akan sentiasa dikenang sebagai "Penyambung Warisan Yang Terbilang". Usaha beliau dalam memupuk semangat perpaduan antara berbilang kaum telah berjaya dicapai dalam konteks masyarakat Malaysia. Beliau mewarisi kepimpinan UMNO yang pernah disandang oleh ayahandanya serta pogram pembangunan yang dijana oleh sahabatnya dan melaksanakannya dengan penuh dedikasi. Malah, beliau juga telah mewariskan pentadbiran kerajaan serta UMNO kepada Tun Dr. Mahathir dalam keadaan yang stabil dan begitu kukuh pada ketika itu.

 
♥ PERDANA MENTERI KEEMPAT ♥
Tun Dr. Mahathir bin Mohamad

- Bapa Pemodenan Malaysia -




Nama : Tun Dr. Mahathir bin Mohamad
Tarikh Lahir : 20 Disember 1925
Tempat Lahir : Alor Setar, Kedah

Pendidikan :
Sekolah Melayu Seberang Perak, Alor Setar
Sultan Abdul Hamid College dan Universiti Malaya (Singapura) lulus Ijazah KedoktoranPerubatan MBS – 1953

Kerjaya :
1945 – aktif dalam Kesatuan Melayu Kedah, SEBERKAS dan UMNO
1954 – bertugas sebagai Pegawai Perubatan di Alor Setar, Langkawi dan Perlis
1957 – membuka klinik sendiri di Alor Setar, iaitu Klinik MAHA
1964 – memenangi Kerusi Parlimen Kota Setar Selatan
1973 – dilantik Pengerusi FIMA
1975 – Naib Presiden UMNO
1976 – Timbalan Presiden UMNO, Timbalan Perdana Menteri
1981 hingga 2003 - Perdana Menteri Malaysia Keempat

Kerjaya dan keluarga

Pada tahun 1954, Dr. Mahathir berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Alor Setar, Jitra, Langkawi dan Perlis sehingga tahun 1957. Beliau kemudian melangsungkan perkahwinan dengan Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali pada 5 Ogos 1956 dan dikurniakan empat cahaya mata, iaitu tiga lelaki dan satu perempuan manakala 3 anak angkat. Anak-anak beliau adalah:
Pada tahun 1957, beliau berhenti dari perkhidmatan kerajaan untuk membuka kliniknya sendiri, MAHA Klinik yang terletak di Jalan Tunku Ibrahim. Ketika itu, beliau merupakan anak Melayu pertama yang membuka klinik persendirian di Alor Setar yang pada ketika itu terdapat lima buah klinik sahaja. Klinik ini kemudiannya berpindah ke 1587, Jalan Sultan Badlishah, 05000 Alor Setar dan kekal sehingga sekarang.

Kerjaya politik

Dr Mahathir telah bergiat aktif dalam politik sejak 1945 yang mana beliau mengambil bahagian dalam kempen menentang Malayan Union. Apabila UMNO ditubuhkan pada 1946, beliau adalah salah seorang yang pertama mendaftarkan diri sebagai ahli. Sebagai Pengerusi Parti Negeri Kedah, dan Pengerusi Jawatankuasa Politik, beliau dengan tidak sengajanya menimbulkan perasaan marah di golongan yang mempunyai perkaitan dengan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman apabila beliau membentangkan kriteria-kriteria kelayakan dalam pemilihan calon untuk pilihan raya umum 1959. Berasa sakit hati atas penuduhan bahawa beliau hendak memilihkan calon-calon yang rapat dengannya, Dr Mahathir enggan mengambil bahagian dalam pilihan raya tersebut.
Pada Pilihan Raya Ketiga dalam tahun 1964, Dr Mahathir dipilih sebagai Ahli Parlimen Kota Setar selepas menewaskan calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dengan majoriti sebanyak 60.2%. Beliau menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO pada tahun 1965. Dalam Pilihan Raya 1969, beliau ditewaskan oleh calon PAS, Haji Yusoff Rawa, dengan cuma 989 undi sahaja, selepas beliau mengumumkan bahawa beliau tidak memerlukan undi-undi orang Cina untuk mencapai kerusinya.
Berikutan peristiwa 13 Mei 1969, Dr Mahathir dipecat daripada keahliannya dalam Majlis Tertinggi UMNO pada 12 Julai, selepas pengedaran umum suratnya kepada Tunku Abdul Rahman. Dalam suratnya, beliau telah mengkritik cara pentadbiran Tunku. Pada 26 September 1969, Dr Mahathir juga dipecat keahliannya dalam UMNO.
Semasa di luar parti, Tun Dr Mahathir mengarang buku "Dilema Melayu" (The Malay Dilemma). Buku kontroversi itu, yang mendedah dan menganalisis perwatakan orang Melayu telah diharamkan pada tahun 1970 dan pengharamannya hanya ditarik balik selepas Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri 18 tahun kemudiannya[13]
Apabila Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir masuk semula ke dalam UMNO pada 7 Mac 1972 dan dilantik sebagai senator pada tahun 1973. Beliau bertanding di Kubang Pasu pada pilihan raya umum 1974, yang mana beliau menang tanpa bertanding. Selepas pilihan raya, Dr Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran dalam kabinet Tun Abdul Razak. Beliau memenangi salah satu daripada tiga kerusi naib presiden UMNO pada tahun 1975. Pada 1976, Perdana Menteri Tun Abdul Razak meninggal dunia secara mengejut dan penggantinya Datuk Hussein Onn melantik Dr Mahathir sebagai timbalannya, sambil masih mengekalkan portfolio pendidikan yang disandangnya. Tidak lama selepas itu Tun Dr Mahathir menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian.
Pada pertengahan 1981, Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Hussein Onn mengumumkan persaraannya dan menamakan Dr Mahathir sebagai penggantinya. Pada 10 Julai, 1981 Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat, dan lapan hari selepas itu sebagai Menteri Pertahanan. Pada 31 Oktober, 2003, Dr Mahathir bersara dan menamakan timbalannya, Datuk Seri Abdullah Badawi sebagai penggantinya.
Dr Mahathir mengisytiharkan keluar daripada UMNO pada 19 Mei 2008 dalam satu ceramah di Alor Setar, Kedah kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi . Bagaimanapun dalam Perhimpunan Agung UMNO 2008 pada Mac 2009, Dr Mahathir menghadiri hari terakhir perhimpunan itu sebagai jemputan. Dr Mahathir kembali menyertai UMNO .Nombor ahli 0000001 dikekalkan.

Kesihatan

Pada 24 Januari 1989 Dr Mahathir Mohamad pernah menjalani pembedahan pintasan arteri koronari di Hospital Besar Kuala Lumpur (HBKL), Kuala Lumpur.
Pada 9 November 2006, beliau sekali lagi dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana serangan jantung setelah saluran darah arteri tersumbat.
Pada 14 Mei 2007, beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Langkawi selepas kesukaran bernafas pada jam 4.00 petang.
Pada 4 September 2007, Dr Mahathir Mohamad menjalani pembedahan pintasan arteri koronari di IJN selama 5 jam. Pembedahan diketuai pakar jantung terkemuka, Tan Sri Dr. Yahya Awang, Datuk Dr. Razali Wathooth, Datuk Dr. Azahari Yakub, Datuk Dr. Venugopal Balchand, Datuk Ezani Mohd. Taib dan Ketua Pakar Bedah Kardiologi Klinik Mayo di California, Amerika Syarikat, Prof. Dr. Hartzell Schaff. Ini merupakan pembedahan saluran darah arteri kali ke-2.
Pada 15 September 2007, sekali lagi beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di IJN jam 7.00 pm. Ketika itu beliau berusia 82 tahun.
Malam 2 Oktober 2010, di Melbourne, Australia, Tun Dr Mahathir telah dimasukkan ke Hospital Epworth akibat sakit batuk dan selesema. Kemasukan beliau ke hospital tersebut disahkan oleh pegawai khasnya, Sufi Yusof. Dr Mahathir pergi ke Melbourne bertujuan untuk berucap pada seminar mengenai pembangunan manusia anjuran Kelab UMNO Australia Melbourne di University of Melbourne.

Kontroversi

Krisis perlembagaan

Pada tahun 1983 dan 1991, Mahathir berdepan dengan pihak Raja dan Sultan dengan membuang kuasa veto Raja dan imuniti mereka dari dihukum. Sebelum pindaan ini, setiap Bil yang akan menjadi undang-undang dikehendaki mendapat persetujuan Agung. Dengan pindaan tersebut, bil yang diluluskan oleh Parlimen akan menjadi undang-undang selepas 30 hari tanpa mendapat persetujuan Agung. Bagaimanapun, perkara ini hanya untuk undang-undang sekular dan Sultan masih berkuasa dalam undang-undang Islam yang berada di bawah bidang kuasa mereka.

Pemecatan Anwar Ibrahim

Pada tahun 1998, kerajaan di bawah pimpinan Mahathir mendakwa Dato' Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan salah laku seksual dan penyalahgunaan kuasa. Anwar pada masa itu adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Anwar mendakwa bahawa beliau dizalimi kerana beliau membawa isu korupsi dan nepotisme dan Mahathir serta orang-orangnya adalah sasaran bagi tuduhan tersebut. Penyokong Mahathir pula percaya bahawa Anwar sebenarnya korupsi dan nepotisme dan cuba untuk menggantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri selepas melihat kejatuhan Presiden Suharto di Indonesia atas isu yang sama.
Krisis Anwar membawa kepada protes besar-besaran yang dikenali sebagai "Gerakan Reformasi" dan tertubuhnya Parti Keadilan Nasional (PKR) dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1999. Namun begitu, PKR hanya memenangi lima kerusi Parlimen pada pilihan raya tersebut dan hampir pupus pada Pilihan Raya Umum Malaysia 2004 apabila hanya memenangi satu kerusi Parlimen di Permatang Pauh yang dimenangi oleh isteri Anwar, Dr Wan Azizah. Parti tersebut walaubagaimanapun berjaya mendapat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 dengan memenangi 31 kerusi Parlimen, jumlah terbesar antara semua parti-parti pembangkang di Malaysia.

Keluar UMNO

Pada 19 Mei 2008, Dr Mahathir mengisytiharkan keluar dari parti UMNO. Beliau mendakwa bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan UMNO sekarang yang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini. Beliau turut menyatakan sebab bahawa UMNO kini hanyalah dijadikan parti untuk mengiktiraf Abdullah sebagai Presiden UMNO dan mengutamakan kepentingan keluarganya sehingga membelakangkan negara di samping beberapa lagi sebab lain. Pengumuman keluar UMNO ini dibuat ketika beliau berucap di hadapan 1,000 orang di Alor Star, Kedah.
Sesetengah pemerhati politik berpendapat tindakan keluar UMNO berkait rapat dengan cubaan gagal Dr Mahathir untuk mendesak Abdullah turun dari jawatan sebagai presiden UMNO. Menurut sebuah tabloid The Malaysian Insider, Dr Mahathir mengadakan perjumpaan dengan Dato' Seri Najib Tun Razak, Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri pada 18 Mei 2008. Perjumpaan itu berkemungkinan tidak berhasil memujuk Najib menentang Abdullah menyebabkan Mahathir tidak mempunyai pilihan lain selain keluar dari UMNO.
Mengulas pengumuman Mahathir keluar dari UMNO, bekas timbalan perdana menteri, Tun Musa Hitam di dalam tabloid dilaporkan berkata 'duri dalam daging sudahpun terkeluar' dan pucuk pimpinan UMNO pula harus menerima realiti bahawa UMNO tidak sekuat dahulu dan konsep 'Mahathirisme' sudah berlalu.
Sehari selepas perlantikan secara rasmi Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Dr. Mahathir bersama-sama isterinya, Dr. Siti Hasmah dan anak mereka, Datuk Mokhzani telah menyerahkan borang untuk menjadi ahli UMNO semula. Upacara tersebut berlangsung di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya.Bertitik tolak kemasukan inilah UMNO menjadi kuat semula dan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara yang diterajui UMNO semakin dipulihkan.